
“Malam Pertama di Syurga” karangan Adil Akhyar merupakan gambaran kehidupan insan-insan yang berjaya di sisi Allah sehingga mereka layak bergelar ahli jannah. ‘Malam pertama’ di syurga hanyalah sebuah perumpamaan betapa indahnya syurga, sehingga lebih indah daripada malam-malam pertama pengantin baru.
Di bahagian awal buku ini, pembaca dihidangkan dengan segala kenikmatan syurga yang digambarkan berdasarkan Al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Penulis berhasil menguatkan lagi angan-angan dan azam pembaca untuk meraih jannah yang menjadi impian setiap manusia dan merupakan tempat pengakhiran yang terbaik.
“Mereka berehat di dalam syurga dengan bertelekan di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang bersangatan sejuknya.” (Al-Insan: 13)
Dalam memastikan ‘hari pertama’ kita di akhirat nanti adalah yang terbaik, maka pastinya memerlukan persiapan untuk menuju ke arah itu. Dunia merupakan ladang akhirat. Apa yang ditanam, itulah nanti yang dipetik. Jika ingin menuai hasil yang baik di akhirat nanti, maka, tanamlah benih yang baik di dunia ini, yakni kerjakan perintah Allah, jauhi larangan-Nya dan lakukanlah amal soleh. Jika ingkar, maka buruklah pengakhirannya, iaitu neraka. Orang-orang yang beruntung adalah orang-orang yang meletakkan dunia pada tangannya, bukan pada hatinya serta yang sentiasa mengingati mati, pemutus segala kelazatan dunia. Mereka rindu untuk bertemu Tuhannya, tidak sabar-sabar menanti saat bersemuka dengan Penciptanya.
Tidak kira lelaki mahupun wanita, anda layak mengecap indahnya nikmat syurga seandainya telah memenuhi kriteria-kriteria ahli jannah yang turut dimuatkan di dalam buku ini. Kita selalu mendengar tentang bidadari-bidadari yang cantik rupawan, bermata jeli, bersuara merdu yang disediakan buat lelaki-lelaki ahli syurga. Buat wanita-wanita ahli syurga, mereka memiliki ganjaran tersendiri yang telah Allah tetapkan buat mereka. Namun, tiada yang dapat menyangkal bahawa ganjaran terhebat yang diberikan kepada ahli jannah adalah dapat melihat Zat Allah yang Maha Esa.
Penulis buku ini bukan sekadar memberi gambaran indahnya syurga semata-mata, tetapi turut memberi tips serta panduan untuk menuju ke sana. Di samping itu, pembaca akan terkesan dengan peringatan-peringat an yang ditegaskan di dalam buku ini, baik berbentuk ancaman mahupun janji-janji manis. Apa yang boleh saya katakan, buku ini sebenarnya menyegarkan semula ingatan tentang hakikat syurga dan neraka kerana apa yang diperkatakan adalah daripada apa yang telah terkandung dalam Al-Quran dan hadis dengan sedikit kupasan yang dikaitkan dengan realiti hari ini.
Anas r.a. pernah berkata, “Mahukah kalian aku beritahu tentang dua hari dan dua malam yang belum penah diketahui dan didengar oleh manusia (yang masih hidup)? Hari yang pertama adalah hari di mana datang kepadamu pembawa berita dari Allah, baik dengan membawa keredhaan-Nya ataupun murka-Nya (hari kewafatan), dan kedua iaitu hari di mana kalian dihadapkan kepada Allah untuk mengambil buku catatan amal, dengan tangan kiri atau dengan tangan kanan. Sedangkan dua malam, adalah malam pertama kali di dalam kubur dan malam di mana pagi harinya dilenyapkan tatkala terjadinya Hari Kiamat.”
“Malam Pertama di Syurga” menjadi motivasi buat insan-insan yang mencari kebahagiaan hakiki.
No comments:
Post a Comment