
Allah tidak menjadikan manusia cerdik dan bodoh. Sebaliknya Allah menjadikan manusia dengan kecerdikan yang berbagai-bagai. Bergantung kepada manusia dari sudut mana melihat kecerdikan tersebut”. Sedutan daripada kuliah Ustaz Hasrizal masih lagi saya ingat dan seringkali terngiang-ngiang di cuping telinga bilamana mengenangkan kejadian manusia dan tingkah laku mereka.
Buat diriku..,
Kita adalah insan yang lahir dari rahim suci seorang ibu. Kita lahir dalam keadaan ‘zero’, dan tiada apa-apa kelebihan dari sudut ilmu dan lain-lain pada diri kita melainkan dibekalkan pancaindera, akal, nafsu dan jiwa.
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur”
(An-Nahl:78)
Kepada diriku, pandanglah manusia dengan pandangan kasih kerana kita semua adalah sama. Tidak ada insan yang cerdik sejak lahir, ataupun yang bisa mengerti erti kehidupan saat membuka mata melihat dunia. Jika itu keadaannya, jauh sekalilah perkataan bodoh untuk manusia yang suci hatinya. Maka kepadaku, ku katakan bahawa kita tidak pernah bodoh, tetapi kadang-kadang kebodohan akan melewati kita saat kita tidak bersungguh-sungguh megejar kecerdikan.
Buat diriku..,
Ku katakan pada diri, bahawa melantik nafsu sebagai pemandu, ianya akan menjadikan kebodohan sebagai salah satu hala tuju. Mungkin bukan bodoh dalam pelajaran. Mungkin juga bukan dalam tindakan. Tetapi ianya akan jelas dalam pemikiran. Kebiasaannya akan disusuli dengan tindakan dan perkataan.
Kuncinya..,
Jinakkanlah nafsu supaya dirimu jauh dari titik kebodohan. Kebodohan yang akan membawa banyak masalah dan perspesi yang akan muncul juga bertindak sebagai barah. Hati-hatilah memandu arah. Aku mohon padaMu ya Allah.
No comments:
Post a Comment