Sungguh cepat masa berlalu. Tahun 1432 Hijrah sudah hampir melabuhkan tirainya. Pasti masih banyak azam kita pada awal tahun ini, belum tercapai. Itulah ketetapan ALLAH yang wajib kita terima dan reda, segala perancangan, hanya ALLAH berkuasa menentukannya. Sebelum kita berhijrah ke tahun 1433 Hijrah, iaitu sebelum tiba awal Muharam para khatib dan penceramah akan membicarakan semula pengertian dan maksud hijrah.

Saya percaya ramai faham maksud perkataan hijrah, tetapi sejauh manakah mereka memahami maksud sebenar dikehendaki oleh Islam?.

Hijrah berasal daripada peristiwa perpindahan atau penghijrahan Nabi SAW dan sahabatnya dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Apabila kita halusi peristiwa ini, ia adalah proses meninggalkan negara yang penuh dengan kerosakan dan kejahatan kepada negara yang lebih damai. Malah, meninggalkan aqidah yang rosak lagi fasad dan amalan serta muamalat yang merosakkan nilai murni seorang manusia.

Rasulullah SAW pernah menceritakan kisah seorang lelaki yang banyak melakukan dosa. Lelaki tersebut telah membunuh 99 nyawa. Dia ingin bertaubat, tetapi oleh kerana dia tersalah memilih guru, maka sekali lagi dia membunuh dan mangsanya adalah guru tersebut. Sampailah pada suatu ketika dia bertemu dengan seorang guru dan menyatakan dia ingin bertaubat, tetapi dengan dosanya yang banyak, apakah taubatnya diterima ALLAH? Guru itu menyatakan ya dan memintanya untuk berhijrah ke negeri yang memiliki penduduk beribadah kepada ALLAH dan tinggalkan negeri diduduki orang yang rosak pegangannya.